Assalamualaikum dan salam sejahtera,
sepanjang hampir 15 tahun dalam bidang penulisan blog ini, antara perkara yang menjadi topik perbincangan sesetengah kelompok adalah, siapa sebenanrya yang perlu menulis?
Adakah hanya individu yang ingin menulis buku, novel dan sebagainya. Atau pelajar sekolah dan universiti yang sedang menimba ilmu untuk persediaan di masa hadapan. Mungkin juga hanya untuk cikgu atau pensyarah yang memang banyak menulis bahan-bahan ilmiah.
Menulis untuk diri sendiri
Sebenarnya, sesiapa sahaja yang ingin meningkatkan daya fikir minta masing-masing boleh menjadikan aktiviti menulis ini sebagai aktiviti harian mereka.
Kenapa ianya aktiviti yang mengasah minda? Jawapan jelas adalah untuk kita menulis, kita perlu membaca, membuat olahan, memikirkan bagaimana olahan itu akan memberi pemahaman dan pelbagai lagi.
Walaupun ada sesetengah perkara yang kita tak perlu fikir terlalu mendalam, contohnya adakah semua orang akan terkesan dengan penulisan yang telah diterbitkan?
Kita hanya perlu usahakan untuk tulis topik yang telah kita pilih agar ianya menjadi bahan yang akan membina perhubungan secara luas tanpa sebarang kekangan atau halangan.
Setiap insan di dunia ini adalah penulis
Percaya atau tidak, semua insan di dunia ini adalah penulis. Bezanya sama ada penulisan itu dalam struktur yang formal, atau dalam konsep yang lebih santai.
Ada yang menulis dengan menaip, dengan menggunakan pena berdakwat ataupun cukup hanya dengan merakam audio atau video untuk tontonan.
Penulisan ini kita tidak semestinya perlu melalui proses sukar dan rumit sepertimana seorang penulis buku. Kita tulis agar ilmu yang kita ingin sampaikan itu dapat dibaca dengan gaya bahasa yang santai.
Andai kita tidak meletakkan terlalu banyak peraturan atau terlalu fikir benda-benda remeh temeh, kita akan boleh menulis sebagai seorang insan yang hidup di dunia ini.
Bukan menulis sebagai seorang sasterawan atau ilmuan besar, namun sebagai seorang insan yang ingin berkongsi ilmu dan pengalaman agar ada yang akan dapat manfaat daripada penulisan tersebut.
Jika ditanya semula, siapa yang sepatutnya menulis.
Jawapan ringkas adalah semua orang, semua insan yang hidup di muka bumi ini. Tiada alasan untuk kita tidak menyampaikan perkara yang baik-baik agar semua mendapat manfaat.
Selamat menulis.
Artikel Menarik Untuk Anda:
tiada artikel berkaitan
Reader Interactions